Kaushitaki Upanishad (Sanskrit: कौषीतकि उपनिषद्, Kauṣītaki Upaniṣad) atau Kaushitaki Brahmana Upanishad ialah sebuah teks Sanskrit purba yang terkandung dalam Rigveda.[1] Ia dikaitkan dengan Shakha Kaushitaki, namun tergolong sebagai Samanya Upanishad, iaitu Upanishad umum bagi semua aliran Vedanta. Upanishad ini telah disenaraikan oleh Robert Hume dalam senarai 13 Upanishad Utama, dan berada di kedudukan nombor 25 dalam kanun Muktikā yang mengandungi 108 Upanishad.[2]
Walaupun tidak tergolong dalam sepuluh Upanishad utama—yang lazimnya dikenali sebagai ‘Dasopanishad’—namun Kauṣītaki Brāhmaṇa Upaniṣad tetap dianggap sebagai sebuah Upaniṣad yang sangat purba dan penting. Dua ayatnya (rujuk 3.2; 3.8; 4.19) telah dibincangkan dalam Brahmasutra (1.1.28–31; 1.4.16–18), menandakan kedudukannya yang signifikan dalam tradisi falsafah Vedanta.[3]
Upanishad ini bermula dengan sebuah naratif yang membawa kepada perbincangan mengenai eskatologi (ilmu tentang kehidupan selepas mati). Citra Gāṅgyāyani, seorang raja, menjemput Āruṇi untuk menjadi pendeta utama bagi upacara korban yang akan dilaksanakannya. Namun, Āruṇi telah menghantar anak lelakinya, Svetaketu, sebagai wakil. Apabila melihat Śvetaketu yang masih muda, raja itu mengajukan satu soalan berkaitan dunia mana yang akan diduduki (selepas mati) selepas pelaksanaan korban tersebut. Oleh sebab Śvetaketu tidak mengetahui jawapannya, dia pulang menemui bapanya untuk mendapatkan penjelasan.